Mohd. Ridzuan Abdullah |
Menurut Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah, Ikhlas percaya bahawa pembukaan kilang itu bertujuan untuk memonopoli industri yang kini membawa pulangan sebanyak RM2.8 billion setahun kepada pengusaha yang sedia ada.
“Kilang berkenaan akan dibina di Johor dan juga Shah Alam, kita (Ikhlas) percaya ia akan beroperasi sebaik sahaja Kementerian Kesihatan mewujudkan satu akta baharu mengenai penjualan perisa vape.
“Menurut sumber, kilang di Shah Alam dimiliki oleh seorang ketua bahagian parti politik manakala di Johor pula merupakan jalinan kerjasama antara pelabur luar dengan rakyat tempatan,” katanya menerusi satu sidang akhbar semalam.
Sebelum itu, beliau mengadakan perbincangan dengan pengusaha vape di sekitar Lembah Klang bagi membincangkan perkara tersbeut.
Antara keputusan yang diambil adalah merancang untuk mengumpul kira-kira 10,000 pengusaha vape bagi menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa.
“Kami merancang untuk berkumpul tetapi belum lagi memutuskan di mana, sama ada di Parlimen, Bukit Aman ataupun Pejabat Perdana Menteri. Ia bergantung kepada keputusan yang bakal dibuat.
“Selain itu, Ikhlas juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat orang politik yang terlibat di dalam kes ini,” katanya.
Mohd Ridzuan turut berkata pengusaha vape sedia ada yang terdiri dari 98% belia bumiputera memerlukan pembelaan dari pihak kerajaan.
“Ini soal periuk nasi pengusaha belia, saya menggesa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk memainkan peranan membantu perniagaan mereka yang kini sudah terjejas hampir 80 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Ridzuan turut menggesa agar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam segera mengeluarkan kenyataan berikutan perkara tersebut.